Sunday, March 7, 2010

Mutiara Doa

Doa ketika becermin

Ya Allah, Engkaulah yang memperindahkan kejadian, maka indahkanlah budi pekertiku serta haramkanlah wajahku daripada api neraka. Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan keseimbangan pada kejadianku, memuliakan rupa wajahku lalu indahkannya, dan yang telah memasukkan aku ke dalam golongan muslimin.

(Riwayat Ibn Mas'ud, Aisyah dan Anas r.a)



Doa ketika sakit

Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk ke dalam kelompok orang yang berbuat aniaya.

(Surah al-Anbiya' ayat 87)

Sekiranya dibaca sebanyak 40x lalu ia mati kerana sakitnya, yang demikian diberi pahala senilai syahid. Andai kata ia sembuh, Allah akan mengampunkan segala dosanya.


Doa memperoleh ilmu yang bermanfaat

Ya Allah, kayakanlah aku dengan ilmu, hiasilah diriku dengan budi pekerti, muliakan aku dengan ketakwaan dan baguskanlah diriku dengan kesihatan.

(Riwayat Ibn Najjar daripada Ibn Umar r.a)

DERHAKA KEPADA IBU BAPA MENEMPA KEMURKAAN ALLAH

Sebagai seorang anak, kita hendaklah meletakkan pada kedudukan yang tinggi dan istimewa martabat kemuliaan ibu bapa dan wajib mendahulukan mereka sebelum orang lain dalam berbuat bakti selepas Allah Ta’ala dan RasulNya.

Kemuliaan dan ketinggian martabat ibu bapa itu bukan diangkat oleh siapa-siapa tetapi diangkat dan dimuliakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, sehinggakan Nabi Shallallahu ’alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :


"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa."

Hadits riwayat At-Tirmidzi


Sebab apa Allah mengangkat martabat ibu bapa? Kerana ibu dan bapa sangat besar jasanya kepada kita.

Tidak ada manusia di muka bumi ini yang lebih besar jasanya kepada kita selain ibu dan bapa.

Dengan susah payah ibu kita mengandungkan dan melahirkan. Kemudian ibu bapa kita mengasuh, membesarkan, mendidik dan mencukupkan segala keperluan.

Semua itu dilakukan dengan tulus ikhlas dan dengan rasa penuh kasih sayang.

Oleh itu, dalam membina hubungan sesama manusia, ibu bapa mestilah mendapat keutamaan lebih daripada orang lain.

Sangat ganjil rasanya jika seseorang mempunyai hubungan yang baik dengan orang lain seperti kawan-kawan di pejabat, di sekolah dan sebagainya, akan tetapi hubungan dengan ibu bapa sendiri diabaikan, apatah lagi jika diderhakai.

Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun, akan tetapi ianya merupakan tuntutan syara’.

Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa, dan hukumnya adalah fardhu ’ain.

Maknanya, apabila dihukumkan fardhu ’ain maka setiap orang wajib berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri, dan perkara berbuat baik kepada keduanya itu bukanlah suatu yang boleh diwakil-wakilkan kepada orang lain untuk melakukannya.

Tuntutan ini banyak dijelaskan melalui dalil-dalil syara’, di antaranya sebagaimana terkandung di dalam firman Allah Ta’ala yang tafsirnya :


"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ’ah!’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Surah Al-Israa’, ayat 23-24


Di dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman yang tafsirnya :

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah."

Surah Al-Ahqaf, ayat 15


Sementara dalil-dalil yang terdiri daripada hadits Nabi Shallallahu ’alaihi wasallam yang menegaskan tentang perkara ini, di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ’Amr bin ’Al-’Ash, beliau berkata yang maksudnya :


"Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu ’alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu ’alaihi wasallam bertanya: "Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?" Beliau menjawab: "Ya", Baginda Shallallahu ’alaihi wasallam bersabda: "Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta)."

Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim


Hadits di atas memberi petunjuk hukum bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu adalah lebih diutamakan berbanding tuntutan berjihad pada jalan Allah, kerana berjihad pada jalan Allah itu merupakan tuntutan fardhu kifayah (apabila sebahagian orang melakukannya maka gugurlah tuntutan kepada sebahagian yang lain), sedangkan berbuat baik dengan kedua ibu bapa itu merupakan tuntutan fardhu ’ain, di mana setiap orang mesti melakukannya.

Fardhu ’ain lebih kuat atau lebih tegas tuntutannya berbanding fardhu kifayah. Oleh itu wajib bagi setiap orang berbuat ihsan kepada kedua ibu bapanya.

Derhaka Terhadap Ibu Bapa Hampiri Dosa Syirik

GANDINGAN dan keserasian antara ibu bapa berjaya mendidik serta membesarkan anak mereka. Ibu bapa sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan kesenangan hidup anak.

Jika dilihat hari ini, sesetengah ibu bapa terpaksa keluar rumah seawal pagi semata-mata untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga. Pengorbanan itu sepatutnya dibalas dengan anak menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Ini sebagai suatu penghargaan tertinggi anak membalas jasa ibu bapa. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uuh’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Surah al-Israk, ayat 23-24


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud:

“Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda.”

Hadis riwayat Muslim

Sebenarnya kewajipan menghormati ibu bapa tidak terhenti walaupun kedua-dua mereka sudah meninggal dunia. Walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia anak dikehendaki berdoa supaya mereka sentiasa bahagia di sisi Allah.

Selain itu, anak digalakkan menziarahi kubur ibu bapa mereka.

Jelaslah menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama serta berterusan sepanjang masa. Perintah Islam supaya menghormati dan mentaati ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau tidak.

Cuma, bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan mentaati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa’ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa’ad berkata kepada anaknya,

“Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad SAW).”

Hadis riwayat Muslim


Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan.”

Surah al-Ankabut, ayat 8


Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.”

Surah Luqman, ayat 14-15


Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan Islam. Hormat dan taatilah ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam dosa besar.

Jika menyebut ungkapan ‘uh’ atau ‘ah’ pun sudah dikira menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak yang mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-’As: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”

Hadis riwayat al-Bukhari


Menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud:


“Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu.”

Hadis riwayat Muslim


Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang yang menderhaka ibu bapanya. Salah satunya ialah peristiwa yang menimpa Alqamah, sahabat yang kuat beribadah kepada Allah tidak dapat melafazkan kalimah tauhid di saat kematiannya kerana mengguris hati ibunya.

Betapa beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar dari mulutnya. Azab menimpa Alqamah berakhir setelah ibunya memaafkan kesalahan dilakukannya.

Peristiwa itu menjelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya.”

Hadis riwayat al-Tabrani


Oleh itu, jadikanlah peristiwa Alqamah sebagai pengajaran dan iktibar bahawa ibu bapa itu wajib dihormati dan dipatuhi. Janganlah kerana suatu perkara remeh, seseorang anak sanggup melupai dan menderhaka terhadap ibu bapa.

Biar bagaimana juga keadaan ibu bapa, tidak sepatutnya seorang anak menghantar ibu bapa mereka yang lanjut usia ke rumah orang tua dengan alasan menyusahkan atau membebankan. Ketika usia semakin lanjut itulah, mereka amat memerlukan layanan, perhatian, belaian dan kasih sayang anak.

Balas segala kesusahan dan kepayahan ibu bapa menjaga serta memelihara kita dengan sesuatu yang menggembirakan mereka. Perhatian dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit.

Doa Awal & Akhir Tahun - Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah,

Semoga Allah memberi keberkatan dalam hidup kita di dunia dan akhirat serta menganugerahkan rezeki yang melimpah ruah…InsyaAllah.

Kemaafan dipohon sekiranya ada salah dan silap sepanjang Hijrah yang lalu.


“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.”


Wasallam.


Dibaca selepas waktu Asar



Dibaca selepas waktu Maghrib

Fakta & Auta - Tahukah Anda ?

1. Tahukah anda apabila 350ml air yang diambil dari sinki dan kemudiannya dituangkan ke dalam cerek yang mengandungi 150ml air suling dan dibiarkan terdedah kepada nyalaan api bersuhu 100 darjah celcius akan menghasilkan satu cecair yang dinamakan air masak.

2. Percayakah anda yang air sirap merupakan salah satu bahan asas dalam pembinaan sebuah helikopter. Ini kerana kajian telah dibuat, seorang pembina helikopter memerlukan air sirap untuk menghilangkan keletihan semasa membuat helikopter, tanpa air sirap mungkin helikopter tersebut tidak dapat disiapkan.

3. Sebuah kereta yang dipandu selaju 220 km/j tidak akan dapat memotong kereta yang dipandu selaju 40 km/j sekiranya kereta-kereta tersebut dipandu dari arah yang bertentangan

4. Tahukah Anda dalam bahasa Inggeris dan Italy, jurugambar dikenali sebagai paparazi. Perkataan itu dipercayai diambil dari watak paparazzo dalam filem La Dolce Vita yang diterbitkan oleh Federico Fellini pada tahun 1960. Dalam bahasa melayu pula, ayah kepada seorang budak yang bernama Razzi juga boleh dikenali dengan nama papa Razzi.

5. Tahukah Anda bendera negara Denmark telah dicipta 700 tahun lampau, menjadikan bendera paling lama digunakan di dunia lebih lama daripada penggunaan susu cap bendera.

6. Tahukah Anda magnet ialah sejenis logam yang juga digelar besi berani. Sebagaimana namanya magnet ialah besi yang berani menarik butir-butir besi lain kearahnya. Bagaimanapun orang yang diupah untuk menarik kereta bukanlah magnet.

7. Tahukah Anda cicak memutuskan ekornya apabila diganggu. Apabila cicak menyedari yang dia diekori oleh sesuatu, ia akan memutuskan ekornya supaya benda itu tidak mengekorinya lagi atas alasan tanpa ekor sudah tentu ia tidak akan diekori lagi.

8. Tahukan anda bahawa seorang manusia normal tidak boleh menyentuh telinganya sendiri menggunakan siku.

9. Tahukah Anda burung dapat pulang ke sarangnya walaupun telah keluar kadangkala hingga beribu kilometer daripada sarangnya tanpa sesat atau silap walaupun tanpa bantuan kompas. Ini kerana setiap sarang burung mempunyai alamatnya yang tersendiri sebenarnya.

10. Tahukah Anda bunyi perkataan lempeng dan tempeleng adalah hampir sama walaupun ia berbeza dari segi rupa bentuknya. Tapi, walaubagaimanapun orang yang kena tempeleng masih boleh memakan lempeng apabila dia berasa lapar.

11. Tahukah Anda gunung berapi yang berusia tiga ratus tahun disahkan masih aktif untuk meletup. Tapi mengikut kajian ahli gunung, api elektrik di rumah kita tidak akan aktif jika tidak membayar bilnya selama tiga bulan.

12. Tahukah Anda orang yang tidak pernah kisah langsung tentang wang ringgit, pangkat, kedudukan dan harta dunia ialah Orang Utan.

13. Tahukah Anda ahli sains seluruh dunia bersepakat jika nasi ayam dimakan sewaktu lapar, perut kita akan mengalami satu tindakbalas yang berupa kekenyangan. Nasi ayam juga boleh digunakan sebagai ubat untuk menggembirakan hati kita bila nasi ayam yang dimakan itu dibelanja oleh kawan kita.

14. Dan tahukah anda bahawa hampir kesemua pembaca blog ini telah mencuba untuk menyentuh telinga menggunakan siku...

Tuesday, October 27, 2009

ILMU TAK TAKUT BINI…

Al-kisahnya, pada zaman dahulu kala, seorang Raja yang takut bini, telah memerintahkan sekelian rakyatnya, LELAKI sahaja, berkumpul di suatu tempat seumpama stadium zaman sekarang.

Titah Raja: Wahai sekelian rakyat beta, sesiapa yang takut bini, semua berkumpul di sebelah kanan beta. Dan, sebaliknya, di sebelah kiri beta.

Maka, tanpa berlengah kesemua yang hadir berkejaran ke sebelah kanan Baginda, kecuali seorang sambil memeluk sebatang tiang.

Titah Raja (dalam hati): Hari ini aku dapat ilmu tak takut bini.

Titah Raja: Wahai saudara, kemari mengadap beta.

Lelaki: Tuanku lah ke mari ke tempat patik.

Titah Raja: Eh! Kamu lah kemari.

Lelaki: Tuanku lah kemari.

Titah Raja: Heh! Aku Raja kamu. Kamu kemari.

Lelaki: Tuanku lah kemari.

Titah Raja (dalam hati): Tak pa, ilmu punya pasal aku pergi.

Lalu Baginda pun mencemar duli ke tempat lelaki tadi. Sesampai sahaja di tempat lelaki tadi, Baginda pun bertanya.

Titah Raja: Apakah rahsia sebenar kamu, tidak takut bini ?

Lelaki: Sebenarnya tuanku, patik lah orang yang paling takut pada bini.

Titah Raja: Kan tadi Beta telah arahkan, sesiapa yang takut bini ke sebelah kanan Beta. Kenapa kamu tidak menurut perintah Beta ?

Lelaki: Sebenarnya tuanku, ISTERI patik telah berpesan kepada patik supaya, TUNGGU DI TIANG INI DAN JANGAN KE MANA-MANA SEHINGGA DIA DATANG.

Hindarkan Diri Daripada Ajaran Songsang & Sesat

Hmm, apa nak jadi lah skrg ni... makin berani mereka mempersendakan agama sendiri.. boleh pulak mengaku sebagai Rasul lah, menyamakan Allah dengan manusia lah, dan sebagainya...

Yang paling menyedihkan, ada pulak yang termakan dengan ajaran sesat seperti itu... mana perginya akidah mereka si pengikut-pengikut yang "tak waras" ni ??

Hukuman yang lebih berat sepatutnya perlu diberi kepada orang yang membawa ajaran songsang seperti ini. Jika tidak, pasti ada sahaja "dajal-dajal" lain pula yang muncul.

Melalui teknologi internet ini, semakin mudah si dajal-dajal ini untuk menyebarkan ajaran mereka.. Oleh itu, kita yang waras ini janganlah terpedaya dengan cara pemikiran dan amalan yang sememangnya jauh dari jalan yang diredhai Allah..

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan kebimbangan kepada mereka yang mempunyai asas agama & akidah yang tidak kukuh kerana mereka ini mungkin mudah termakan & terperdaya dengan ajaran yang songsang lagi menyesatkan itu.

Sehubungan dengan itu, katanya, Bahagian Penyelidikan JAKIM mempunyai Unit Kawalan Media yang sentiasa melayari dan memantau bahan media seumpama itu samada menerusi media internet, cetak mahupun bahan penyiaran.

Oleh itu, sekiranya kita dapati terdapat mana-mana kandungan di dalam media-media (seperti dinyatakan di atas) meragukan atau menyesatkan, marilah kita bekerjasama "menghapuskan" dajal-dajal ini dari terus bermaharajalela menyebarkan ajaran songsang mereka dengan menghubungi JAKIM melalui laman web http://baheis.islam.gov.my/sismi/aduan.nsf

Semoga Allah melindungi akidah kita sehingga saat kita menghembuskan nafas yang terakhir.. Allah Maha Besar !!!